RISALAH NABI YANG AMANAH
Sejak 1370 tahun yang lalu, Muhammad bin Abdullah, Nabi yang ummi telah menyeru di atas
kemuncak bukit Sofa, Mekah, maksudnya: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya saya adalah pesuruh Allah kepada kamu sekelian, Tuhan yang memiliki seluruh langit dan bumi, tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Berimanlah kamu dengan Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang telah beriman dengan Allah dan kalimahNya. Turutlah kamu sekalian kepadaNya moga-moga kamu mendapat petunjuk". (Al-A'raf :158)
Dakwah yang merangkum itu menjadi garis pemisah bagi seluruh alam. Pemisah antara zaman
yang gelap gelita dengan zaman yang akan datang yang bersinar dengan cahaya dan bahagia
abadi. Dakwah ini juga menjadi satu pengisytiharan yang terang dan nyata terhadap satu sistem
yang baru yang disyariatkan Allah yang amat mengetahui dan amat bijaksana. Ia disampaikan
oleh pesuruhNya Muhammad saw, pembawa khabar gembira dan pengingat manusia bersama
kitabNya al Quran yang terang dan bersinar, juga bala tenteranya yang dahulu yang terdiri
daripada orang- orang muhajirin dan ansar dan pengikut-pengikut jejak langkah mereka dengan
penuh ihsan. Dakwah ini bukan satu ciptaan manusia, ia adalah ciptaan Allah yang tidak ada
ciptaan yang lebih baik selain dari-Nya.
Firman Allah, maksudnya, "Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah al kitab (al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan al Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaannya segala apa-apa yang ada di langit dan apa yang di bumi, ingatlah bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan". (as Syura:52-53)
MANHAJ AL-QURAN DALAM MEMPERBAIKI MASYARAKAT.
Al Quran adalah penghimpun segala cara untuk membaiki masyarakat. Ia telah diturunkan ke atas Nabi saw. Ianya dibacakan kepada orang-orang mukmin dari masa ke semasa menurut keadaan, suasana dan sempena.
Firman Allah, maksudnya.
"Demikianlah supaya kami perkuat hati mu denganNya dan Kami (menurunkanNya) dan
membacakanNya kelompok demi kelompok. Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa sesuatu yang ganjil) melainkan Kami datangkan kepada mu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya". (al Furqaan:32-33).
Apabila sempurna wahyu itu diturunkan dan dipelihara di setiap dada dan pada mashaf-mashaf
dalam masa lebih kurang dua puluh dua tahun, Allah telah kumpulkan di dalamnya penjelasan tiap-tiap perkara untuk umat ini. Dasar-dasar pembaikian dan pengislahan masyarakat yang sempurna yang didatangkan oleh al Quran itu berlegar dibawah qaidah-qaidah ini:
1) Ketuhanan (Rabbaniah).
2) Ketinggian jiwa manusia.
3) Peneguhan aqidah terhadap adanya pembalasan.
4) Pengisytiharan persaudaran di kalangan manusia.
5) Membangunkan seluruh laki-laki dan wanita serta pengisytiharan tanggungjawab dan persamaan di antara keduanya serta penentuan tugas masing- masing secara detail.
6) Jaminan untuk masyarakat dengan penetapkan hak-hak kehidupan, pemilikan, kerja, kesihatan, kebebasan, pelajaran, keselamatan individu dan penentuan sumber laba.
7) Memelihara dua kehendak semulajadi; keinginan memelihara jiwa dan memelihara keturunan dengan mengatur keinginan perut dan seks.
8) Keras dan kesungguhan dalam memerangi jenayah-jenayah berat.
9) Menguatkan kesatuan umat ini menghapuskan seluruh unsur-unsur dan sebab yang membawa perpecahan umat.
10) Mewajibkan umat supaya berjihad dalam menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang didatangkan oleh sistem ini.
11) Menjadikan negara sebagai wakil kepada fikrah Islam dan negara bertanggungjawab melindunginya. Negara juga bertanggungjawab untuk melaksanakan matlamatnya dalam masyarakat yang khusus(Negara Islam) dan menyampaikan fikrah ini kepada seluruh manusia.
SYIAR-SYIAR PRAKTIK BAGI SISTEM INI.
Sistem al Quran ini berbeza dengan segala sistem dan teori-teori falsafah ciptaan manusia. Ia tidak membiarkan segala dasar dan ajaranNya tinggal sebagai teori sahaja dalam diri manusia atau juga tidak sebagai pendapat-pendapat dalam buku-buku atau sebagai kata-kata di bibir mulut sahaja.
Dasar Islam disyariatkan untuk ditumpu, diperkukuh dan dimanfaatkan kesan dan hasilnya sebagai interpretasi yang praktik. Umat yang beriman dan mempercayainya mesti bersungguhsungguh melaksanakan kerja ini. Ianya hendaklah dianggap sebagai suatu kefardhuan dan mereka yang meremeh-remehkannya tidak boleh dipandang ringan. Orang yang melaksanakannya akan diberi pahala dan mereka yang meninggalkannya akan dibalas dengan balasan yang mungkin boleh mengeluarkan mereka dari masyarakat Islam.
Di antara tanggungjawab penting dalam sistem ini yang dijadikan sebagai satu tembok untuk
pemusatan prinsip-prinsipnya ialah:
1. Sembahyang, zikir, taubat, istighfar dsbnya.
2. Puasa, menjaga diri, beringat dari boros.
3. Zakat, sedekah dan berbelanja di jalan kebaikan.
4. Haji, melancung, mengembara, menyelidik dan memerhati kerajaan Allah.
5. Berusaha, bekerja dan menjauhi dari meminta.
6. Jihad, berjuang, menyediakan pejuang dan menjaga keluarga pejuang serta kebaikan mereka di kala mereka berjauhan.
7. Amar ma'ruf dan memberi nasihat.
8. Mencegah dari yang mungkar, pemulauan orang ramai terhadapnya dan orang-orang yang melakukannya.
9. Menambah ilmu pengetahuan setiap muslim dan muslimat dalam berbagai bidang hidup yang sesuai untuk mereka.
10. Baik pergaulan dan berakhlak dengan akhlak yang baik.
11. Sentiasa menjaga keselamatan tubuh dan memelihara pancaindera.
12. Ikatan yang baik di antara pemerintah dengan rakyat dengan menjaga dan taat.
Setiap Muslim dituntut mempraktikkan kewajipan ini dan memperjuangkannya sebagaimana ia telah di terangkan oleh sistem al Quran. Setiap Muslim jangan sekali-kali mencuaikannya walau satu daripadanya. Kesemua kewajipan ini telah disebutkan di dalam al Quran. Segala amalan Nabi saw dan para sahabat menerangkan pelaksanaan ini dengan jelas dan terang. Tiap-tiap amal tersebut mengukuh dan tertumpu kepada prinsip-prinsip sistem Islam yang kesemuanya memberi faedah kepada seluruh manusia.
NEGARA ISLAM YANG PERTAMA.
Di atas dasar sistem al Quran ini, tertegaklah sebuah negara Islam yang pertama. Ianya sebuah negara yang beriman benar-benar dengan al Quran, melaksanakan segala ajarannya dengan penuh rapi dan kemudiannya menyebarkannya pula ke seluruh dunia.
Khalifah Islam yang pertama(Abu Bakar ra) pernah berkata "Jika seutas tali pengikat unta hilang
pun dari jagaan saya, saya akan dapatinya dalam Al-Quran".
Beliau telah memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat dan menyifatkan mereka
itu sebagai murtad kerana meruntuhkan salah satu rukun sistem ini. Beliau mengatakan, "demi
Allah kalau mereka itu enggan menunaikan kepada ku seutas tali pengikat unta seperti yang telah
ditunaikan kepada Rasulullah saw, pasti aku akan perangi mereka selagi pedang masih berada di tangan
ku".
Kesatuan yang sepenuhnya tercerna dalam ummah yang baru lahir ini. Kesatuan masyarakat tercerna dalam kerangkuman seluruh sistem al Quran dan bahasa Al-Quran dikalangan mereka. Kesatuan politik terangkum di bawah naungan Amirulmukminin dan lambaian panji-panji khalifah di ibu negara. Idea Islam tidak berlegar dalam tentera sahaja atau di Baitul Mal atau pada tindak laku pemerintah sebab mereka semua bekerja dalam satu aqidah dan dengan arahan yang satu dan menyeluruh.
Prinsip al Quran ini telah berjaya menghapus dan menghalau keluar fahaman-fahaman keberhalaan yang khurafat di Semenanjung tanah Arab dan Farsi. Yahudi penipu juga telah dihalau dan kekuasaan agama dan politik mereka dilenyapkan. Prinsip dan dasar Al-Quran ini juga telah berjuang menentang fahaman Kristian sehingga terhapus dari benua Asia dan Afrika dan terpaksa berlindung di bawah naungan kerajaan Rum timur di Konstantinopel. Dengan ini dua benua yang besar ini telah memusatkan seluruh kuasa spiritual dan politiknya kearah kerajaan Islam. Dasar Islam ini seterusnya juga telah berusaha memerangi benua ketiga (benua Eropah) iaitu menyerang Konstantinopel dari Timur dan mengepungnya dengan bermatian dan menyerangnya (benua Eropah) dari barat dengan menawan Andalus. Bala tentera Islam telah berjaya sampai ke tengah Perancis serta utara dan selatan Itali. Ia juga telah mendirikan sebuah kerajaan yang agung di Eropah Barat yang bersinar dengan ilmu dan peradaban. Kemudian barulah Konstantinopel sempurna di buka dan Kristian diletakkan di sudut yang kecil di tengah Eropah. Kapal laut tentera Islam belayar hebat di dua lautan iaitu lautan Mediteranean dan laut Merah yang mana kedua lautan itu menjadi tasik Islam. Tentera laut negara Islam memegang kunci laut di timur dan di barat dan seluruh kekuasaan darat dan laut berada di tangan Islam.
Implikasi dari ini umat Islam dapat berhubung dengan bangsa-bangsa lain. Umat Islam berjaya memindahkan kebanyakan tamadun dunia tetapi dengan kawalan kekuatan iman dan prinsip peraturannya. Seluruh tamadun itu telah diubahsuai dengan kehendak-kehendak Islam dengan mengekalkan keindahan dan kehebatannya. Islam tidak menegah dari mengambil faedah tamadun itu selagi ianya tidak mengganggu kesatuan politik dan masyarakat ummat Islam.
Referensi : Artikel Imam As-syahid Hassan Al-Banna
Selasa, 14 Mei 2013
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar